17 Jun 2012

MY NAME IS KHAN.. (I'M NOT A TERRORIST)

Kejap tadi tengah aku asyik menonton siaran berita BULETIN UTAMA yang diputarkan di TV3 aku sempat beralih siaran ke saluran ASTRO channel 131 (saluran CITRA). Tak sangka channel tersebut sedang menayangkan sebuah cerita yang bagi aku cukup menarik dan jalan cerita yang agak hebat. Walaupun sudah hampir setengah cerita diputarkan namun aku seakan2 dapat melihat keseluruhan jalan cerita tersebut. Cerita yang menggunakan latar belakang masyarakat di sebuah bandar di San Fransisco, Amerika Syarikat (United States Of America).


Cerita yang menunjukkan bahawa peristiwa atau tragedi 11hb September 2001 memberi impak berar buat kehidupan orang Amerika. Peristiwa ini memberi persepsi buruk kepada agama ISLAM sehingga dikatakan sebagai agama yang mengajar kejahatan atas nama Jihad. Salah tanggapan ini bukan hanya disebabkan oleh Media Massa sendiri yang memutarbelitkan fakta sehingga wujudnya sebuah tanggapan yang di gelar ISLAMOPHOBIA atau ketakutan kepada perjuangan ISLAM. 


Aku minta maaf sekiranya aku tak dapat nak explain lebih jauh (permulaan cerita) tapi aku mulakan dengan pertengahan cerita di mana seorang pemuda India Muslim bernama RIZWAN KHAN (lakonan Shah Rukh Khan) yang menderita Asperger's Syndrome iaitu satu penyakit kelainan upaya yang membuatnya menggeletar dan menjadi sukar untuk berinteraksi dengan orang sekeliling. Ianya juga adalah penyakit yang takutkan warna kuning dan takutkan bunyi. Beliau berasal dari India dan telah berpindah ke San Fransisco, Amerika Syarikat untuk mengadu nasib. Setelah sampai disana beliau telah berjumpa dengan seorang wanita bernama Mandira (lakonan Kajol) janda wanita beranak 1 yang beragama Hindu berasal dari India. Walaupun terdapat tentangan dari kedua2 belah pihak mereka akhirnya memutuskan untuk berkahwin dan menukarkan nama anak tiri beliau sebagai Sameer Khan.


Tanpa diduga sebuah tragedi hitam yang melukakan hati rakyat Amerika seterusnya meletakan simpati masyarakat dunia kepada rakyat Amerika iaitu Peristiwa 11 September 2001 atau digelar 911 menghancurkan mimpi2 indah Rizwan Khan dan Mandira serta anak tiri beliau iaitu Sam. Mereka hidup tertekan dengan tanggapan dan kata2 sinis masyarakat sekeliling dan akhirnya tanpa diduga anak beliau dibunuh oleh sebahagian remaja berpendirian anti Islam dipadang bola sepak disebabkan pandangan masyarakat yang begitu prejudis terhadap agama ISLAM. Mandira menyalahkan suaminya, Rizwan Khan yang mempunyai nama Islam itu. Madira yang masih teguh dengan agama Hindu turut berprasangka terhadap buruk terhadap Islam (walaupun sepatutnya dalam Islam tidak dibenarkan mengahwini orang yang beragama lain selain Islam ataupun sudah memeluk Islam). Selepas serangan 911 tersebut kehidupan umat Islam Amerika Syarikat yang dulunya tenteram, kini berubah sama sekali dan kaum lain yang hampir menyerupai perwatakan masyarakat ISlam turut terkena tempiasnya terutamanya kaum Sikh.


Si Isteri yang tertekan kerana kematian anaknya menyuruh suaminya iaitu Rizwan bertemu Presiden Amerika untuk membersihkan namanya serta mengatakan bahawa mereka bukan penggganas dan tak mahu dituduh sebagai pengganas. Untuk merebut kembali hati wanita yang dicintainya Rizwan kemudiannya mengambil keputusan besar untuk melakukan perjalanan mengelilingi Amerika. Setibanya di sebuah Bandar Los Angeles, Amerika Syarikat Rizwan ditangkap petugas khas yang mengawal Presiden Amerika Ketika itu kerana tingkahlakunya yang sedikit aneh dan mencurigakan orang sekeliling. Laungan "Mr Presiden, my name is Khan and i am not a Terrorist" telah menyebabkan beliau dihumban ke penjara. Beliau telah ditahan dan disiasat sebagaimana tahanan Teluk Guantanamo (tempat tahanan disyakki pengganas dipenjarakan, kebanyakkannya pengikut Al-Qaeda).


Hasil kempen beberapa wartawan Islam, Rizwan berjaya dibebaskan. Rizwan Khan menjelajah dari San Francisco menuju ke Washington. Ketika berlaku banjir besar di Geogia, Rizwan Khan ingin berjumpa semula dengan Mama Jenni dan menjadi sukarelawan bajir ditempat tersebut. Usaha ini membuktikan bahawa umat ISLAM bukanlah pengganas (Terrorist). Pada satu majlis dihadapan ribuan media beliau akhirnya dijemput ke atas pentas dan bersalam dengan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama yang menjanjikan harapan damai. Presiden akur permintaan beliau dan mengatakan "Your name is Khan and you are not a terrorist".

Tiada ulasan: