16 Mei 2012

SELAMAT HARI GURU 2012



SELAMAT HARI GURU!! Itulah ungkapan dan ucapan yang sering kita dengari setiap tahun pada tanggal 16hb Mei. Siapa sangka pejam celik pejam celik dah setahun berlalu dan seperti biasa kita kembali ke tanggal 16hb Mei ini semula. Alhamdulillah, untuk sampai ke tahun ini bukan semuanya berkesempatan seperti kita kerana ada yang tidak sempat untuk menjengah ke tahun ini dan kita yang telah dipanjangkan umur dimurahkan rezeki ini sepatutnya bersyukur dan merenung kembali apa yang pernah kita lakukan dan amalkan untuk diri kita dan juga orang lain.

Seperti tahun-tahun yang sudah kita akan didendangkan dengan Tema yang berlainan setiap tahun dan tahun ini Tema yang telah dipilih adalah "GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA". Tema ini dipilih adalah sebagai galakan kepada guru dalam menyuburkan inovasi. Tema ini selaras dengan pengisytiharan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia bahawa tahun 2012 merupakan Tahun Sains Dan Gerakan Inovasi Nasional. Sehubungan itu amat wajarlah bagi para pendidik mempersiapkan diri dalam membudayakan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan aktiviti koakademik serta kokurikulum dalam dan luar bilik darjah.

Kita seharusnya bersyukur kerana mempunyai negara yang berbilang kaum dan aman sentosa dan diharapkan para pendidik mendidik anak murid dengan penuh dedikasi dan mengajarkan bukan sahaja ilmu pendidikan malahan ilmu tingkahlaku dan kesopanan. Para pendidik seharusnya lebih menitik beratkan soal kenegaraan yang menjurus kepada memperkukuhkan semangat cintakan negara dan bukanlah menjadi perintis kepada kerosakan dan kehancuran negara. Aku minta maaf sekiranya ada pendidik yang terasa dengan kata-kata aku ini dan aku bukanlah mengatakan bahawa semua pendidik begitu namun satu dua orang begitu telah merencatkan dan mencalarkan imej perguruan yang kita sanjungi dan hormati ini.

Aku amat berharap agar imej guru dimartabatkan semula dan diletakkan ditempat yang sepatutnya dan janganlah biarkan anasir-anasir luar merosakkan imej guru yang penuh dengan kesopanan dan ketegasan dalam mencorak generasi yang bertamadun dan bermaruah tinggi. Guru adalah cerminan sebuah masyarakat yang berdaya maju serta berintegriti, dan aku mengharapkan agar para pendidik lebih memfokuskan kepada hal memperteguhkan jati diri anak bangsa dari mempersia-siakan diri berdemontrasi dan mencari kesalahan orang lain. Guru adalah satu profesion yang amat disanjungi dimata masyarakat dan merekalah yang mampu menentukan arah tuju bangsa Malaysia yang berjaya dimata Dunia.

Guru, Cikgu, Sifu, Mahaguru, Sensei, Teacher, Ustaz, Ustazah atau apa juga gelaran yang kita berikan ia adalah sama dimana hanya perkataan yang membezakan namun maksudnya jelas adalah sama. Kita perlu sentiasa hormat pada guru kerana ilmu yang diberikan membentuk siapa kita pada hari ini. Ilmu ini tidak terbatas jadi selagi ada kudrat kita seharusnya terus belajar dan belajar sehingga ke akhir usia kita.

Dikesempatan ini juga aku ingin mengucapkan JUTAAN TERIMA KASIH kepada semua tenaga pengajar dan para pendidik aku sehingga aku menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat, bangsa dan agama. Aku bersyukur kerana mempunyai guru-guru yang berdedikasi dalam menyampaikan ilmu dengan penuh sabar dan berhemah. Aku terharu diatas semua jasa dan pengorbanan guru selama ini dan aku takkan lupakan jasa kalian semua sehingga ke akhir hayat aku. Tak dilupakan guru aku sejak lahir iaitu Ibubapa aku, Para Ustaz yang pernah mengajar aku mengaji dan mengenal alif ba ta, Guru Tadika Ulu Kinta yang mengajar aku a b c, Para Guru di Sekolah Rendah Agama Rakyat Chemor, Sekolah Rendah Haji Mahmud Chemor, Para Pendidik di Sekolah Menengah Aminuddin Baki Chemor, Tenaga Pengajar di PULASAR serta semua yang pernah menjadi guru aku secara langsung mahupun tidak. Aku sentiasa mendoakan kalian semua mendapat keredhaannya dan aku bersyukur dikurniakan Para pendidik yang terbaik!! TERIMA KASIH DAN SELAMAT HARI GURU!!



* P/S: Gambar-Gambar Dan Video Yang Berkaitan..



    

   

Tiada ulasan: