19 Julai 2012

BARAKAH RAMADHAN BAKAL TIBA



Assalammualaikum WBT..
Aku harap korang semua dalam keadaan baik dan sihat hendaknya, tak kisahlah apa yang akan dilakukan pada hari ini, janji ia dapat ditangani dan mampu di olah untuk jadikan pekerjaan atau aktiviti kita ceria dan memberi manfaat pada setiap dari kita.


Tinggal dua hari sahaja lagi kita akan bertemu dengan bulan penuh rahmat dan keberkatan iaitu Bulan Ramadhan Al-Mubarak. Bulan ramadhan pada tahun ini kemungkinan jatuh pada 21hb Julai Tahun 2012 Masihi. Kita semua sedia maklum pada bulan inilah segala pintu-pintu syurga akan dibuka dan pintu-pintu neraka akan tertutup. Namun adakah kita bersedia untuk menyambut bulan penuh barakah ini? “Tepuk dada tanyalah Iman!”


Semoga kita tidak menjadi manusia yang lalai dibuai oleh keindahan duniawi semata-mata sehingga mengabaikan tanggaungjawab kita sebagai hamba-Nya. Yang pasti di akhirat sana adalah tempat dimana kita akan di hisab dan segala amal didunia akan menentukan hala tuju sama ada ke Syurga penuh dengan keindahan yang sukar dibayangkan atau dicampakkan ke jurang Neraka penuh kesengsaraan. Apapun yang kita lakukan perlulah ikhlas dan keihlasan itu lahir dari hati yang tawaduk dan berserah kepada ALLAH SWT tanpa mengharapkan balasan. Kita perlulah berusaha lebih gigih dibulan Ramadhan ini dengan meningkatkan lagi amal ibadat tanpa mengabaikan kerja dan amanah yang dipertanggungjawabkan. Setiap dari kita adalah hamba yang lemah dan kita perlu sentiasa berserah pada Maha Pencipta. Rasanya nikmat hidup yang diberikan kepada kita selama ini sebenarnya sudah cukup membuatkan kita seharusnya bersyukur.


Akhir kata dari aku, semoga bulan Ramadhan ini dapat memberikan kita semua seribu satu makna yang mendalam dan semoga kita dapat menjalani ibadah puasa tanpa sebarang halangan. Apapun semoga kita dapat bertemu dengan satu malam yang penuh kerahmatan iaitu Malam Lailatul Qadar. Untuk bertemu malam itu rasanya perlu kita lipat gandakan amal yang kita lakukan.

Sekian dari aku,
Salam sayang.. Salam rindu.. Salam Ramadhan..

AMUK DAN SPEKULASI JAHAT



Beberapa minggu yang lalu masyarakat kita telah digemparkan dengan cerita seorang lelaki bersama pasangan wanita beliau memasuki perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya dengan mengamuk menggunakan senjata pedang samurai. Kedua-dua suspek bertindak sedemikian setelah tidak dibenarkan masuk ke Pejabat Perdana Menteri oleh Polis Bantuan yang bertugas. Dipercayai ketika kejadian apabila tidak dibenarkan masuk lelaki tersebut yang mengaku diri beliau sebagai Imam Mahadi tiba-tiba mengeluarkan pedang samurai tersebut dan mengacukannya kepada anggota Polis Bantuan yang bertugas ketika itu. Tindakan suspek yang melibas-libas pedang tersebut sehingga merosakkan beberapa kenderaan yang diparkir dikawasan tersebut menyebatkan suasana kecoh sehingga menyebabkan sebahagian penjawat awam yang berada berhampiran kawasan tersebut berlari menyelamatkan diri masing-masing. Sepasukan anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya telah dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengawal keadaan. Setibanya ditempat kejadian anggota polis tersebut telah berusaha sedaya-upaya memujuk kedua-dua suspek untuk menyerah diri namun suspek telah bertindak melulu dengan menyerang anggota penguatkuasa tersebut sehingga memaksa tembakan dilepaskan bagi mempertahankan diri. Suspek lelaki tersebut disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya akibat cedera di bahagian tangan dan ari-ari bahagian kiri manakala suspek wanita tersebut cedera di paha kanan. Kedua-dua supek dikenalpasti sebagai Khalil Afandi Hamid, 47 manakala suspek wanita adalah Muhdalina Ahmad, 28. Kedua-dua suspek dipercayai mengenali satu sama lain seminggu sebelum kejadian amuk tersebut.

Kita sedia maklum bahawa kejadian seumpama ini bukanlah yang pertama kalinya berlaku di Malaysia namun bila ia melibatkan serangan di tempat paling sensitif tentunya menimbulkan pelbagai polimik dan spekulasi sehingga menimbulkan pelbagai andaian dan pandangan masyarakat berhubung perkara tersebut. Walaupun ada yang mengatakan ianya berpunca daripada Ajaran Sesat yang mereka anuti namun belum terbukti akan kesahihan tersebut. Apapun kita seharusnya lebih peka seandainya perkara melibatkan ajaran sesat ini adalah terbukti benar. Pihak-pihak berwajib seharusnya menjejaki sehingga lubang cacing siapa yang menjadi dalang sebenar dalam kejadian seumpama ini. Kita tidak mahu dilihat seperti hangat-hangat tahi ayam dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Maka semua pihak perlu bekerjasama berganding bahu mencegah perkara seumpama ini daripada berulang. Kita tidak mahu negara kita dilihat sebuah negara yang lemah dalam aspek pencegahan. Media-media sosial rancak memperdebatkan isu ini sehingga ada yang mengatakan ianya adalah salah satu Konspirasi kerajaan untuk menyalahkan pihak pembangkang? Benarkah tuduhan tersebut? Kita jangan mudah terpedaya dan termakan hasutan sesetengah pihak untuk menyalahkan kerajaan semata-mata. Siasatan yang rapi perlu dilakukan untuk membuktikan bahawa ini adalah tindakan individu tertentu yang mudah terpengaruh kerana ketika kejadian dipercayai suspek ada mengatakan mahu menumbangkan kerajaan sedia ada. Apapun yang berlaku seperti yang dikatakan kita perlu berikan ruang kepada pihak berwajib menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengesan dalang dan mastermind dalam kejadian ini.

Salah satu perkara yang bagi aku tidak seharusnya dipersoalkan adalah tindakan pihak polis menembak suspek. Mengapa perkara seumpama ini ditimbulkan? Apakah motif tersebut? Yang pasti tindakan mempersoalkan pihak polis dalam menjalankan tugas adalah secara tidak langsung berniat jahat  kerana mahu menunjukkan bahawa pihak polis adalah zalim. Seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia berbangga kerana mempunyai sebuah pasukan polis yang cekap dan efisien dalam menjalankan tugas. Mungkin tindakan segelintir didalam organisasi ini dilihat seolah-olah mencerminkan keseluruhannya sedangkan ia adalah sebaliknya. Betullah kata pepatah “kerana nila setitik rosak susu sebelanga”, oleh itu kita seharusnya menadah tangan dan mengucapkan syukur ke hadrat illahi kerana memberi limpah rahmat kepada masyarakat kita untuk hidup didalam sebuah negara yang aman damai dan makmur ini. Sejuta penghargaan seharusnya diberikan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) selaku pengawal keamanan negara disamping Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta lain-lain agensi berkaitan penguatkuasaan kerana Berjaya mengekalkan keamanan sehingga kini. Jika ada pihak2-pihak yang cuba mencetuskan provokasi dan membuat onar kita seharusnya berganding bahu bersama pihak polis dalam mempertahankan keamanan ini.